Solat ialah tanda kesyukuran kita kepada Allah
yang telah menjadikan alam ini untuk kita hidup dengan segala macam
nikmatnya. Ia perlu dilakukan dengan sebaik-baiknya kerana ia adalah
perkara yang pertama sekali dihisab di akhirat nanti.
Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda ;
“Sesungguhnya
yang pertama kali dihisab pada hari kiamat dari amalan manusia adalah
solatnya. Jika amalan solatnya baik maka dia akan bahagia dan beruntung.
Jika amalan solatnya buruk maka dia termasuk orang-orang yang rugi.
Jika terdapat kekurangan sedikit pada amalan solat fardhunya, maka Allah
Azza Wajalla berfirman ;
“Lihatlah (hai para malaikat) apakah
hambaku mengerjakan solat sunat untuk menyempurnakan solat fardhunya?
Kemudian jika hambaku menyempurnakan solat sunat, maka solat sunat itu
untuk menyempurnakan solat fardhu yang kurang, kemudian seluruh
amalannya diperlakukan seperti itu.”
(Sahih Tirmidzi, Ibnu Majah no 193, 1425, 1426)
Bermula
semasa kita mengambil wudhuk sehingga tamat solat sama ada solat fardhu
atau pun sunat, hendaklah dilakukan dengan sempurna. Ini bagi
memastikan solat kita diterima oleh Allah SWT.
Mungkin selama ini
kita tidak tahu bahawa ada perkara yang boleh membatalkan solat yang
telah kita lakukan. Mungkin juga kita ragu-ragu dalam sesuatu hal. Oleh
itu, disenaraikan di sini 11 perkara yang boleh membatalkan solat kita
iaitu:
1. Semua perkara yang membatalkan wuduk.
2. Berhadas besar atau kecil semasa dalam solat.
3. Terkena najis pada anggota badan, pakaian dan tempat solat.
4. Berkata-kata dengan sengaja walaupun sedikit. Ini juga termasuklah ketawa.
5. Sengaja mendedahkan aurat atau tidak sengaja segera menutupnya kembali apabila auratnya terbuka.
6. Makan dan minum.
7. Bergerak tiga kali berturut-turut seperti bergerak tiga langkah berturut-turut atau memukul tiga kali berturut-turut.
8. Dengan sengaja melebihkan rukun fi’li iaitu perbuatan di dalam solat. Contohnya, menambah rukuk dan sujud.
9. Mengubah niatnya iaitu seperti berniat memutuskan solat ataupun ragu-ragu sama ada hendak memutuskan solat atau tidak.
10. Berpaling daripada menghadap kiblat dengan memusingkan dadanya kekiri atau ke kanan.
11. Murtad iaitu keluar dari agama Islam.
Kita
juga perlu berhati-hati dengan perkara-perkara yang makruh ketika
solat. Seeloknya, elakkanlah daripada melakukan perkara-perkara makruh
ini:
1. Bercekak pinggang.
2. Melihat ke kanan atau ke kiri, atau ke belakang.
3. Memberi isyarat dengan tangan, kecuali menunjuk ketika membaca tahiyyat.
4. Meludah.
5. Membiarkan rambut atau pakaian yang kusut dan tidak teratur.
6. Menyapu tempat sujud ketika sujud, kecuali jika terpaksa.
7. Membuka mulut lebar-lebar semasa menguap dalam solat.
8. Menahan lapar dan menahan daripada membuang air sedangkan ia amat mendesak.
9.
Kalau bilal sudah iqamat untuk mengerjakan solat fardhu, maka makruh
untuk mengerjakan solat yang lain lagi melainkan solat yang fardhu itu
sahaja.
KONGSIKAN TAZKIRAH INI
