Allah
SWT menentukan cara beribadah bagi manusia sesuai dengan unsur kejadian
kita yang terdiri daripada unsur jasmani dan rohani. Mungkin
setiap individu mampu dalam mengerjakan amal ibadah secara umum (nampak
dari segi lahiriah) namun tidak mampu menyertakan hati (khusyuk) ketika
mengerjakan ibadah tersebut. Secara jelas Allah SWT terangkan dalam surah Al Ankabut ayat 45
maksudnya: "Dan dirikan olehmu akan solat, sesungguhnya solat itu
mencegah kamu daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar".
Jika
kita lihat seseorang itu mengerjakan solat namun masa yang sama juga
melakukan perbuatan mungkar, ini membuktikan bahawa solat yang
dikerjakan itu hanya sekadar melakukan amalan jasmaniah, sedangkan roh
solat itu tidak meresap dalam ibadahnya. Ingatlah, jangan sampai kita mengerjakan solat hanya sekadar melepaskan batuk ditangga iaitu seperti solat orang-orang munafik. Mengenai
hal ini Allah SWT berfirman maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang
munafik itu menipu Allah dan Allah akan membalas tipuan mereka. Apabila
mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka hendak
menunjuk-nunjuk kepada manusia. Dan mereka tidaklah mengingat Allah
kecuali sedikit sekali ".
Begitu juga dalam amal ibadah yang lain seperti membaca Al Quran dan sebagainya. Jika
seseorang itu memahami segala yang dibacanya, pastilah ia akan
meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah kerana rasa takut dan
takwa. Seandainya tidak ada perubahan keperibadian terhadap pembacanya
bermakna bacaannya tidak menimbulkan apa-apa kesan yang positif, bererti
amalannya hanya bersifat lahirah sahaja.
Untuk
memperolehi roh ibadah yang sempurna agar segala amalan yang kita
lakukan memberi kesan kepada akhlak dan keperibadian, hendaklah
melengkapi dengan ilmu pengetahuan agama yang betul dan sempurna, bukan
sekadar ikut-ikutan tanpa asas yang kukuh. Dengan demikian barulah ibadah kita dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar.
Sumber :
