Imam an-Nawawi menjelaskan dalam kitab al-Majmu 'bahawa ulama-ulama
Syafi'e mengatakan apabila perempuan yang haid itu sudah kering
darahnya, maka terangkatlah beberapa perkara yang diharamkan ke atasnya
seperti puasa, talak dan zhihar.
Adapun
larangan kerana disebabkan hadas seperti sembahyang, tawaf, sujud
Tilawah dan Syukur, i'tikaf, memegang dan membaca al-Quran dan tinggal
atau duduk dalam masjid, masih dilarang dan masih berjalan hukumnya
sehinggalah dia mandi mengangkat hadas besar. Begitu juga larangan bersetubuh dan mubasyarah (menyentuh) kawasan antara pusat dan lutut.
As-Sayyid al-Bakri menukilkan kata-kata Syaikh al-Islam Zakariyya
al-Anshari dalam Syarh ar-Raudh, sebagaimana diharamkan bersetubuh pada
akhir waktu haid, diharamkan juga bersetubuh setelah darah haid berhenti
atau kering sebelum mandi mengangkat hadas besar.
Menurut jumhur ulama, hukum bersetubuh dengan perempuan yang haid
sebelum dia mengangkat hadas sekalipun darahnya sudah kering atau
berhenti atau bersih adalah haram sehinggalah dia terlebih dahulu mandi
mengangkat hadas ataupun bertayammum (pada keadaan sah tayammumnya itu).
Begitu juga dengan mubasyarah (menyentuh) kawasan antara pusat dan lutut sehinggalah perempuan tadi mengangkat hadas besar. Jika dia tidak mendapati air, maka hendaklah dia bertayammum kerana tayammum itu bersamaan dengan mandi dalam mengangkat hadas.
Di samping itu jumhur mengatakan jika seseorang bersetubuh dengan
perempuan yang sudah berhenti atau kering darah haid dan sebelum mandi,
maka (sunat) ke atasnya kaffarah, iaitu bersedekah kepada orang fakir
miskin dengan ½ (setengah) dinar.
Perintah Untuk Mandi Setelah Kering Darah Haid
Ulama sepakat bahawa mandi mengangkat hadas disebabkan haid dan nifas
adalah wajib, iaitu apabila telah berhenti atau kering darah tersebut.
Sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam dalam hadis riwayat'
Aisyah Radhiallahu 'anha ketika Fatimah binti Abi Hubaisy menemui
Baginda mengenai masalah haid dan istihadhah.
Maksudnya: "Maka jika datang haidhmu, maka kamu tinggalkanlah
sembahyang, dan jika (kadar masa kebiasaan haidh) telah berlalu (tamat),
maka bersihkanlah dari dirimu darah haidh (mandilah) kemudian
sembahyanglah". (Hadis riwayat al-Bukhari)
Secara
dasarnya darah haid itu bukan sahaja menjijikkan kepada orang lain,
malah bagi perempuan yang mengalami haid itu sendiri. Kerana
itu, tegahan melakukan persetubuhan ketika haid walaupun menggunakan
kondom adalah sangat tidak wajar, di samping ianya mendatangkan
mudharat. Manakala dari sudut pandangan agama, hukumnya adalah haram dan
melakukannya dengan sengaja merupakan dosa besar dan pelakunya
disunatkan membayar kaffarah.
Menurut Imam al-Ghazali, melakukan persetubuhan sebelum mandi akan mewarisi Judzam (penyakit kusta) kepada kanak-kanak.
Oleh
kerana itu hubungan suami isteri akan terbatas selama mana isteri belum
mandi mengangkat hadas, sekalipun darah haid sudah kering atau
berhenti. Maka apabila darah haid telah kering, wajiblah menyegerakan mandi
untuk mengangkat hadas supaya tidak tertinggal melaksanakan ibadat yang
dituntut.Wallahu'alam.
Oleh Ibnu Muslim
