Fahami Maksud Hutang, Pinjam, Hadiah & Hantaran Bersulam Adalah Dosa Riba.







Riba
al-Qardh adalah sebarang manfaat tambahan yang lebih daripada jumlah
pinjaman pokok yang mana ianya disyaratkan di awal kontrak pinjaman
(loan contract) yang dikenakan oleh pemberi pinjaman kepada peminjam.
Riba jenis ini boleh dikira sebagai yang paling popular berlaku di kalangan masyarakat kita hari ini.





Riba jenis ini bergantung kukuh kepada hadis berikut:





كل قرض جر نفعا فهو الربا





Ertinya: "Setiap pinjaman yang membawa kepada manfaat (bagi pemberi pinjam) maka ia adalah riba." [1]





Walaupun
terdapat pertikaian berkenaan tahap ketulenan hadis ini, kandungan
hadis terbabit telah menjadi satu kesepakatan atau ijma di kalangan para
ulama.
Hadis
itu mungkin boleh disalah fahami ertinya jika hanya dilihat kepada
teksnya, ini kerana jika setiap pinjaman yang membawa manfaat itu riba,
maka semua jenis pemberian pinjam adalah haram dan riba, kerana setiap
pinjaman walaupun tanpa faedah atau tambah, akan memberikan manfaat buat
peminjam, ia
juga memberikan manfaat kepada pemberi pinjam dari sudut pahala dan kebaikan akhirat. Namun itu bukanlah kefahaman yang tepat, kerana berdasarkan pelbagai
nas dan athar sahabat yang lain [2], manfaat yang dimaksudkan: -





Terhad kepada manfaat material dan bukan spiritual seperti pahala


Ia akan manfaat yang diperolehi oleh pemberi pinjam dan bukan peminjam. Justeru jika pemberi pinjam menerima pujian dan terima kasih atas kebaikannya, ia tidak termasuk di dalam manfaat yang haram.


Ia juga merujuk kepada sesuatu manfaat material yang disyaratkan. Justeru, manfaat yang tidak disyaratkan adalah terkeluar daripada konteks hadis. As-Syawkani berkata:





إذا كانت الزيادة مشروطة في العقد فتحرم اتفاقا





Ertinya: Apabila pertambahan itu disyaratkan di dalam kontrak, maka diharakmkan secara sepakat [3]





Itulah tiga panduan asas di dalam memahami hadis berkaitan riba yang berlaku di dalam aktiviti pinjaman dan hutang. Sebagai penjelasan tambahan, Ibn Qudamah berkata:





كل قرض شرط فيه أن يزيده فهو حرام بغير خلاف





Ertinya: "Setiap pinjaman yang disyaratkan padanya memberi tambahan, maka ia adalah haram tanpa sebarang pertikaian." [4]





Ibn Munzir pula berkata:





أجمعوا على أن المسلف إذا شرط على المستسلف زيادة أو هدية, فأسلف على ذلك, أن أخذ الزيادة على ذلك ربا





Maksudnya:
Telah ijma bahawa apabila pemberi pinjam meletakkan syarat ke atas
peminjam sebarang tambahan atau hadiah, maka pinjaman diberikan,
sebarang tambahan yang diambil adalah riba.
[5]





Al-Bukhari pernah mencatatkan bahawa Nabi s.a.w berkata:





إذا أقرض فلا يأخذ هدية





Maksudnya: Apa memberi pinjam, janganlah kamu mengambil sebarang hadiah.





(Riwayat Al-Bukhari dalam At-Tarikh)





Justeru itu, tiada sebarang keuntungan boleh diraih oleh pemberi peminjam melalui aktiviti pinjaman ini. Ini kerana pinjaman adalah satu proses yang dibuat secara sukarela atas dasar bantu-membantu. Ia disebut dalam Islam sebagai Qardh al-Hasan (pinjaman tanpa sebarang faedah riba dikenakan kepada si peminjam).





BEBERAPA JENIS RIBA QARD YANG POPULAR





Beberapa jenis riba Al-Qardh yang popular boleh dipecahkan kepada beberapa bentuk, iaitu: -





1) Duit berbalas duit yang lebih banyak


Contoh: Ali meminjamkan Ahmad wang sebanyak RM2000, dengan syarat
membayar kembali dengan nilai yang lebih besar seperti RM2500 dalam masa
tiga bulan.





Sebarang pinjaman yang mensyaratkan pertambahan nilai semasa pemulangannya akibat jangka tempoh waktu adalah riba al-Qardh. Ini adalah dari jenis time value of money [6] yang diharamkan di dalam Islam.





Bagaimanapun,
sekiranya Ahmad memulangkan wang dengan nilai tambah tanpa sebrang
paksaan atau syarat oleh Ali, di ketika pinjaman dibuat atau sepanjang
tempoh pinjaman, ia adalah halal lagi terpuji di sisi Islam.
Hal ini pernah ditunjukkan oleh Nabi s.a.w apabila baginda membelikan
unta yang lebih baik dari apa yang dipinjam dan digunakan oleh Nabi,
tatkala itu Nabi meminta sahabat pergi membelikan seekor unta yang lebih
baik, lalu berkata: -





فإن خيركم أحسنكم قضاء





Maksudnya: "Sebaik-sebaik antara kamu (peminjam) adalah memulangkannya dalam bentuk yang terbaik" (Riwayat Al-Bukhari)





Namun
begitu, undang-undang haram masih berlaku jika peminjam, iaitu Ahmad
walau dengan sukarela menawarkan pembayaran semula (repayment) dengan
nilai tambah.
Islam tidak menerima campur tangan redha manusia dalam undang-undang yang berkaitan dengan hak Allah swt. Hukuman riba tergolong dalam kategori hak Allah swt. Justeru walau ditawar oleh peminjam dengan keredhaannya, hukum haram
adalah tetap serupa, sama ada nilai tambah disyaratkan oleh pemberi
pinjam atau peminjam, kedua-duanya adalah riba yang diharamkan.





2) Duit berbalas duit beserta sesuatu manfaat


Contoh
Pertama: Kamil memberi pinjam sebanyak RM1000 kepada Hasan untuk tempoh
lima bulan, sebagai balasan Kamil mensyaratkan Hasan untuk membantunya
menyiapkan kerja universitinya.






Contoh Kedua: Husin memberi pinjaman sebanyak RM5000 kepada Karim dan
disyaratkan ke atas Karim untuk membeli komputer yang sedang dijual oleh
Husin atau menyewa sebuah bilik di rumah sewanya.





Dalam
contoh pertama di atas, bantuan menyiapkan kerja universiti itu dikira
riba kerana tergolong di dalam manfaat lebih yang diraih hasil pemberian
pinjaman.
Ia diharamkan oleh Islam kerana ia jelas satu tindakan menindas yang
mengambil kesempatan di atas bantuan pinjaman yang diberi walaupun tiada
sebarang jumlah tambahan dalam bentuk wang tunai dikenakan sebagai
bayaran semula.





Manakala
dalam contoh kedua, ia tergolong dalam mensyaratkan sesuatu bentuk
manfaat, Cuma manfaat kali ini lebih berselindung kerana menggunakan
satu kontrak lain, sama ada jual beli atau sewa.
Kedua-dua contoh ini hukumnya adalah haram berlandaskan nas berikut (selain nas umum yang dinyatakan sebelum ini):





لا يحل بيع وسلف





Maksudnya: Tidak halal jualan beserta pinjaman bertangguh.





(Riwayat At-Tirmizi) [7]





Al-Baghawi menyatakan erti (سلف) dalam hadis ini adalah Qardh iaitu pinjam. Imam
Ahmad semasa ditanya berkenaan erti hadis ini menerangkan ia membawa
maksud, seseorang mmebri pinjam kemudian menjual sesuatu kepadapeminjam
dan mengambil keuntungan darinya.
[8]





Jelas, tindakan mensyaratkan jual beli, sewa atau apa-apa manfaat lain
adalah tergolong dalam riba melalui helah-helah tertentu, namun
hukumnya tetap sama, iaitu haram.





3) Manfaat berbalas manfaat yang lebih


Contoh: Hasan memberi pinjam keretanya kepada Yusuf dengan syarat
Yusuf perlu memulangkan kereta itu dengan tangki minyak penuh, padahal
semasa pinjaman dilakukan, ia tidak penuh.





Dalam contoh di atas, Riba berlaku juga kerana ia tergolong di dalam hadis pinjaman beserta pulangan lebih yang disyaratkan. Ia juga tergolong di dalam ijma 'yang disebutkan oleh Ibn Qudamah. Ini kerana manfaat kegunaan kereta dibalas dengan satu manfaat lain yang berbeza dan melebihi manfaat pinjaman.





Sekiranya,
dalam kes ini, pemberi pinjam ingin memperolehi sesuatu keuntungan
seperti yang disebut di atas, pemberi pinjam tidak boleh menggunakan
kontrak 'pinjam' semasa memberi keretanya, sebaliknya ia mesti
menggunakan kontrak 'sewa' dengan nilai sewa, setangki penuh minyak.
Melalui cara itu, transaksi dan keuntungan yang diperolehi adalah halal.





Mungkin
ada yang keliru disebabkan hasil dan akibat (end result) bagi kedua-dua
transaksi kelihatan sama, walaupun demikian ia berbeza di sisi Allah
swt, kerana pemberian pinjaman wang atau manfaat aset yang tidak
dikenakan sebarang upah dan tidak diambil peluang meraih sesuatu manfaat
bersifat material
akan melayakkan pemberi pinjam untuk menerima gandaan pahala sebanyak 18 kali ganda bergantung kepada tahap keikhlasannya. Sejurus kontrak ditukar kepada 'sewa' ganjaran sedemikian tidak lagi
diperoleh oleh pemilik, sebagai gantinya pemilik meneirma habuan di
dunia berbanding habuan akhirat.





Nabi Muhammad s.a.w berkata:





رأيت ليلة أسرى بي على باب الجنة مكتوبا الصدقة بعشر أمثالها والقرض
بثمانية عشر فقلت يا جبريل ما بال القرض أفضل من الصدقة قال لأن السائل
يسأل وعنده والمستقرض لا يستقرض إلا من حاجة





Maksudnya:
"Pada malam aku pergi ke syurga (semasa Israk Mi'raj), aku melihat
tertulis di dalam pintu Syurga," Setiap sumbangan sedeqah digandakan
pahalanya kepada sepuluh kali, dan setiap pinjaman tanpa faedah
digandakan sebanyak 18 kali "lalu aku (Nabi)
bertanya: wahai Jibrail, mengapakah pemberian pinjam lebih mulai
daripada sedeqah? Jawab Jibrail: Kerana yang meminta di waktu meminta
itu, sedang ia masih memiliki (mampu), sedangkan orang yang meminta
pinjaman tidak akan meminta pinjam kecuali benar-benar di kala
keperluan. "





(Riwayat oleh Ibn Majah) [9]





Inilah juga yang disebutkan oleh Al-Jassas di dalam kitab beliau Ahkam al-Quran:





سماه الله قرضا تأكيدا لاستحقاق الثواب به; إذ لا يكون قرضا إلا والعوض مستحق به





Ertinya: "Allah menamakannya sebagai qard (pinjam) sebagai penguat
kepada perolehan pahala kebaikannya, kerana jika ia bukan qard, maka
pemberi pinjam layak mendapat ganjaran (material) darinya" [10]





4) Hadiah duit berbalas hadiah duit yang lebih banyak.


Contoh: Kamil menghadiahkan wang berjumlah RM100 kepada Hasan hari ini
dengan syarat Hasan akan menghadiahkan Kamil wang sebanyak RM120 bulan
hadapan.





Ia
juga termasuk di dalam kategori riba al-Qardh dan tergolong di dalam
kategori pemberian pinjam walau menggunakan lafaz hadiah.
Penggunaan helah menukar lafaz dan nama tidak mampu mengubah substance
atau rangka asas kontrak yang merupakan pinjaman beserta faedah.





5) Hadiah bersyarat hadiah.


Contoh:
Pengantin lelaki dan wanita bersetuju bahawa pihak lelaki akan hadir
dengan 7 buah dulang hantaran bernilai RM10,000 manakala, pihak wanita
bersteuju dengan balasan 9 buah dulang bernilai RM13,000.






Dalam konteks ini, masih berlaku syubhat riba al-Qardh jika sekiranya kedua-dua pihak bersetuju atas nilai harga tertentu iaitu RM 10,000 berbalas RM13,000. Namun jika kedua-dua pihak tidak berpakat berkaitan harga, dan hanya menentukan jumlah dulang hantaran semata-mata, ia adalah harus. Apa yang menjadikannya haram adalah persetujuan wang berbalas wang yang lebih banyak.





Semoga kita semua dapat belajar, memahami dan menjauhi diri dari terjebak dalam dosa riba yang amat dikeji oleh Allah swt.


Post a Comment (0)
Previous Post Next Post