Sabda Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam :
"Semua masuk neraka kecuali satu"
Apakah mereka yang masuk neraka itu akan kekal di dalamnya ataukah masuk neraka terlebih dahulu kemudian dikeluarkan..?
Apabila
kita berpendapat bahawa mereka akan kekal dalam neraka maka pendapat
ini hanya berlaku untuk orang-orang kafir yang belum tersentuh hatinya
dengan iman kerana yang kekal dalam neraka itu hanyalah orang-orang
musyrik sesuai dengan ijmak berdasarkan firman ALlah subahanahu wa
ta'ala :
إن الله لا يغفر أن شرك به و يغفر ما دون ذالك لمن يشاء ومن يشرك بالله فقد افتر إثما عظيما
Ertinya
: "Sesungguhnya ALlah tidak akan mengampuni dosa berbuat syirik tetapi
mengampuni dosa selain yang demikian. Barangsiapa yang berbuat syirik
terhadap ALlah, maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar"
(Surah An Nisa' : 48)
Sekiranya
kenyataan seperti ini maka bagaimana mungkin kita boleh mengutamakan
dari tubuh umat Islam yang besar ini satu kelompok yang mengaku dengan
Firqah Najiah di mana kelompok itu sahaja yang selamat dari kekal di
dalam neraka sedangkan kaum Muslimin yang lain - sesuai dengan pengakuan
mereka akan kekal semuanya dalam neraka? Padahal mereka itu adalah
orang-orang yang mengucapkan dua kalimah syahadah dan RasuluLlah
sallaLlahu 'alaihi wasallam telah menghukumkan mereka sebagai ahlul
jannah dan termasuk orang-orang yang selamat (dari kekal dalam neraka) ?
Di dalam sahih Bukhari pada hadith no 44, Nabi sallaLLahu 'alaihi
wasallam bersabda :
يخرج من النار من قال لا إله إلا الله وفي قلبه
وزن شعيرة من خير ويخرج من النار من قال لا إله إلا الله و في قلبه وزن
برة من خير ويخرج من النار من قال لا إله إلا الله وفي قلبه وزن ذرة من خير
Ertinya
: "Akan keluar dari dalam neraka orang-orang yang mengucapkan La ilaha
illaLLah, sedangkan dalam hatinya terdapat kebaikan seberat satu helai
rambut dan akan keluar dari dalam neraka orang-orang yang mengucapkan La
ilaha illaLLah sedangkan dalam hatinya terdapat kebaikan seberat biji
gandum dan akan keluar dari dalam neraka orang-orang yang mengucapkan La
ilaha illaLLah sedangkan dalam hatinya terdapat kebaikan seberat zarrah
"
Tersebut dalam Sahih Bukhari juga pada hadith no 7072 :
يقول الله تعالى : وعزتي وجلالي وكبريائي وعظمتي لأخرجن منها (أي من النار) من قال لا إله إلا الله
Ertinya
: ALLah subahanahu wa ta'ala berfirman : Demi kemuliaan, ketinggian,
kebesaran dan keagunganKu sesungguhnya Aku akan mengeluarkan dari dalam
neraka siapa sahaja yang telah mengucapkan La ilaha illaLLah"
Tersebut dalam sahih Ibnu Khuzaimah pada hadith no 1231 bahawa Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda :
من قال لا إله إلا الله دخل الجنة
Ertinya : "Barangsiapa mengucapkan La ilaha illaLLah maka dia pasti masuk syurga"
Dalam
sahih Ibnu Hibban hadith no 169 dari Abi Dzar radiyaLlahu 'anhu, dia
berkata : Bersabda RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam :
Barangsiapa
mengucapkan La ilaha illaLlah maka dia pasti masuk syurga". Aku
bertanya: "Wahai RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam walaupun dia
telah berzina dan mencuri?" RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam
menjawab: "Walaupun dia telah berzina dan mencuri".
Dalam Mustadrak al Hakim hadith no 7638 disebutkan bahawa Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda :
من قال لا إله إلا الله دخل الجنة ووجبت له الجنة
Ertinya : "Barangsiapa mengucapkan La ilaha illaLLah maka dia pasti masuk syurga dan itu adalah pasti".
Ibnu Hibban mengeluarkan dalam sahihnya hadith no 3004 bahawa Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda :
لقنوا موتاكم لا إله إلا الله فإنه من كان اخر كلمته لا إله إلا الله عند الموت دخل الجنة وإن أصابه قبل ذالك ما أصابه
Ertinya
: "Ajarilah orang-orang yang akan mati di antaramu kalimah La ilaha
illaLlah kerana barangsiapa yang akhir ucapannya di ketika mati adalah
La ilaha illaLlah maka dia pasti masuk syurga walaupun sebelumnya dia
banyak melakukan dosa kesalahan"
Hadith yang seperti ini juga
dikeluarkan oleh al Hakiim dalam al Mustadrak pada hadith 1299, Abu Daud
dalam sunannya pada hadith no 3116 dan at Turmuzi dalam sunannya hadith
no 977.
Sesudah memerhatikan beberapa hadith di atas maka
bagaimana mungkin mereka yang telah mengucapkan La ilaha illaLLah
Muhammad RasuluLlah itu kita hukumkan sebagai orang-orang yang kekal
dalam neraka kerana beranggapan bahawa mereka itu bukan termasuk Firqah
Najiah - menurut persangkaan mereka?
SubhanaLlah, ini adalah
kebohongan yang nyata dan penolakan terhadap hadith-hadith sahih serta
satu kebohongan terhadap riwayat-riwayat yang mutawattir.
Jika
mereka berpendapat bahawa makna dari : "Semua mereka masuk neraka
kecuali satu (golongan) sahaja" adalah masuk neraka terlebih dahulu
kemudian dikeluarkan darinya maka saya bertanya: "Dari mana mereka yang
mengaku dirinya sebagai Firqah Najiah itu mengetahui bahawa kelompok
mereka tidak akan diazab oleh ALlah dan bahawa mereka akan masuk syurga
tanpa hisab padahal ketetapan perkara ini harus menggunakan wahyu dan
wahyu sudah terputus..?
ALlah subahanahu wa ta'ala berfirman :
قل هاتوا برهانكم إن كنتم صادقين
Ertinya : "Katakan (wahai Muhammad): "Datangkanlah bukti-bukti kamu jika memang kamu orang-orang yang benar
(Surah al Baqarah : 111)
ALlah subahanahu wa ta'ala juga berfirman :
وقالو لن تمسنا النار إلا أياما معدودة قل أتخذتم عند الله عهدا فلن يخلف الله عهده أم تقولون على الله ما لا تعلمون
Ertinya
: "Dan mereka berkata: "Kami sekali-kali tidak akan disentuh oleh api
neraka kecuali selama beberapa hari sahaja". Katakanlah : "Sudahkah kamu
menerima janji dari ALlah sehingga ALlah tidak akan memungkiri janjiNya
ataukah kamu hanya mengatakan terhadap ALlah apa yang kamu tidak
ketahui?"
(Surah al Baqarah: 80)
Jika ucapan ALlah subahanahu
wa ta'ala terhadap orang-orang Yahudi sedemikian kerasnya padahal mereka
tidak pernah menghukum keadaan ummat lain di akhirat nanti - melainkan
kesalahan terbesar mereka terletak pada keyakinan bahawa diri mereka
akan dikeluarkan dari neraka sesudah melewati beberapa hari sahaja tanpa
ada pemberitahuan kepada mereka dari ALlah subahanahu wa ta'ala - lalu
bagaimana dengan keadaan satu kelompok yang meyakini bahawa diri mereka
pasti akan masuk syurga sedangkan kelompok lain yang juga bertauhid dan
beriman serta mengucapkan dua kalimah syahadah adalah penghuni neraka
lantaran dosa-dosa yang mereka perbuat.. ?
Padahal kita semua
mengetahui bahawa dosa itu bagaimana besar dan banyaknya tetap sahaja
urusannya itu kembali kepada Allah subahanahu wa ta'ala.
