Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani,
Malik bin Anas bin Malik bin Abu Amir bin Amar bin Harits, dilahirkan di Madinah pada 93 Hijrah. Moyangnya
Abu Amir berasal dari Yaman yang berhijrah ke Madinah untuk berguru
dengan Rasulullah s.a.w dan menjadi antara sahabat baginda yang setia. Ibunya
pula Aliyah Syuraik dan ada riwayat menyatakan ibunya mengandungkan dia
selama dua tahun sebelum melahirkannya di Kampung Zuwarmah di utara
Madinah. Malik dilahirkan pada zaman pemerintahan khalifah Umaiyyah keenam,
Khalifah Al-Walid Abdul Malik Madinah yang terkenal sebagai pusat ilmu
telah memupuk cintanya terhadap ilmu al-Quran dan hadis.
Dia akan membuat satu simpulan tali setiap kali belajar sesebuah hadis untuk mengingatkannya jumlah hadis yang dipelajarinya. Ada
daya ingatan yang sangat kuat, dan pernah suatu ketika gurunya, Ibnu
Syihab menyampaikan 30 hadis, dia hanya mendapat 29 hadis saja; dia
sanggup bertemu gurunya semula memintanya mengulang semula satu hadis
yang tertinggal itu.Zaman remajanya, Malik pelajar yang sangat miskin
sehingga terpaksa menjual kayu dari bumbung rumahnya yang runtuh untuk
mendapatkan wang. Dalam usia 17 tahun, dia sudah mendalami pelbagai ilmu agama. Dia juga masih sangat rajin belajar walaupun selepas berumah tangga
dan dikatakan mempunyai 900 orang guru yang separuh daripadanya adalah
ulama tabien.
Malik
sangat mencintai ilmu hadis dan dikatakan, jika dia dipanggil untuk
bercakap mengenai fikah, dia terus keluar dengan pakaian yang melekat di
tubuhnya. Tetapi
jika dia dipanggil untuk bercakap mengenai hadis, dia akan mandi,
berpakaian kemas serta memakai harum-haruman sebelum keluar. Dia
juga melarang orang bercakap nyaring dalam majlis hadis sebagai
menghormati Rasulullah kerana hadis datangnya daripada Rasulullah. Malik menghabiskan 40 tahun untuk mengumpul hadis yang diterima daripada gurunya. Sebanyak
100,000 hadis dihafalnya, tetapi selepas disaring, hanya 10,000 diakui
sah, yang kemudian dipadankan dengan firman Allah. Akhirnya, hanya 5,000 yang diterima sebagai benar-benar sabda Rasulullah. Hadis ini dihimpun dalam kitab pertamanya, al-Muwatta'.Ada riwayat
menyatakan, khalifah kedua Bani Umaiyah, Abu Jaafar al-Mansur di Baghdad
menggesa Malik supaya menulis ilmunya untuk dijadikan rujukan.
Selepas
mengumpul hadis itu, dia bingung memikirkan judul sesuai untuk kitabnya
sehingga bermimpi dikunjungi Rasulullah yang bersabda kepadanya,
"sebarkan kitab ini kepada manusia." Akhirnya dia memutuskan untuk
menamakan kitab sulungnya itu al-Muwatta 'bermaksud Yang Disepakati atau
Tunjang atau Panduan. Kerana tempoh masa yang diambil untuk menyusun kitab ini, khalifah meninggal sebelum sempat menatapnya. Pada
zaman pemerintahan Harun al-Rashid, al-Muwatta 'begitu dihormati
sehingga khalifah mencadangkan kitab itu digantung di Kaabah sebagai
lambang perpaduan ulama dalam hal agama tetapi dibantah Malik. Khalifah pernah mengutus Syeikh al-Barmaki untuk menjemput Malik mengajar di istananya. Sebaliknya
Malik menjawab, "ilmu pengetahuan harus didatangi dan tidak disuruh
mendatangi." Utusan itu pulang ke Iraq dan menyampaikan mesej berkenaan.
Khalifah menghantar dua anak lelakinya ke majlis ilmu Malik di Madinah.
Ketika menunaikan haji, khalifah sempat menemui Malik dan memintanya membacakan kitabnya. Malik sebaliknya meminta khalifah hadir ke majlis ilmunya sahaja. Khalifah
membalas, mahu mendengar kitab itu di rumah Malik sendiri tetapi Malik
merendah diri menyatakan, kediamannya buruk, tidak sesuai untuk
dikunjungi seorang amirul mukminin.Khalifah menghadiahkan 3,000 dinar
emas kepada Malik untuk membina rumah baru. Hanya sedikit wang yang digunakan dan selebihnya diberikan kepada sahabat lain. Suatu
hari, semasa khalifah di Madinah, sekali lagi Malik dijemput ke
tempatnya untuk membacakan al-Muwatta'.Mulanya dia enggan tetapi
akhirnya bertukar fikiran lalu ke tempat khalifah. Katanya, "saya harap janganlah tuanku jadi orang pertama yang tidak menghormati ilmu. Saya tidak menolak permintaan tuanku tetapi saya harap tuanku
menghargai ilmu supaya Allah menghargai tuanku. "Khalifah bersetuju
mengikut Malik ke rumah.
Selepas duduk di kerusi khasnya, khalifah menegur kerana terdapat ramai orang lain di situ. Tetapi
Malik membalas, "jika orang ramai tidak dibenarkan mendengar isi kitab
ini, nescaya Allah tidak akan memberi rahmat kepada seorang pendengar
pun." Khalifah akhirnya bersetuju membenarkan orang lain mendengar
sama.Malik menyuruh pelajarnya Ma'an membaca al-Muwatta ', tetapi
sebelum pelajar itu membuka mulut, Malik mencelah, "Para pencinta ilmu sangat menghargai ilmu. Tiada sesiapa akan duduk lebih tinggi daripada ilmu. "Mendengar sindiran itu, khalifah turun duduk di lantai bersama yang lain.
Antara
sikap Malik, dia tidak pernah menolak hadiah yang diberikan kerana
baginya ilmu pengetahuan memang wajar mendapat penghargaan, apatah lagi
ilmu agama. Bagaimanapun banyak wang hadiah yang diberikan kepada pelajarnya. Hidupnya
tidak mewah tetapi dia gemar berpakaian kemas kerana baginya pakaian
yang kotor dan tidak senonoh akan menjatuhkan maruah ulama.Malik pernah
berdepan cabaran hebat pada masa pemerintahan Abu Jaafar al-Mansur,
ketika anak saudara khalifah, Jaafar Sulaiman menjadi gabenor Madinah. Gabenor
muda dan tidak berpengalaman itu kurang menghormati ulama, apatah lagi
ketika itu terdapat ramai yang mendengki Malik kerana
kedudukannya.Termakan hasutan, Malik yang berusia 54 tahun ketika itu
ditahan dan diseksa dengan 70 sebatan. Hukuman itu mencetuskan kemarahan orang Madinah, sangat membimbangkan khalifah di Baghdad, lantas Jaafar dipecat. Khalifah dengan rendah diri berjumpa Malik untuk meminta maaf dengannya. Hubungan baiknya dengan Khalifahlah yang mendorongnya menulis al-Muawatta 'yang terkenal itu.
Malik
kembali ke rahmatullah pada Rabiulawal 179 Hijrah, dalam usia 90 tahun
selepas menghidap sakit tua selama 20 hari dan dikebumikan di Baqi. Dia meninggalkan seorang balu, tiga anak lelaki dan seorang anak perempuan. Hanya anak perempuan tunggalnya, Fatimah yang mewarisi ilmunya mendalami al-Muwatta '. Seumur hidupnya, Malik tidak pernah meninggalkan Madinah kecuali ketika menunaikan haji ke Mekah. Namun dia berjaya mengumpul ramai pelajar yang datang dari luar Madinah. Pelajarnya yang ramai inilah bertanggungjawab melebarkan Mazhab Maliki ke seluruh pelusuk dunia.
