Soalan:
Adakah
bahagian kaki wanita itu aurat? Saya sering terlihat perempuan yang
tidak memakai sarung kaki, bahkan ada juga yang solat tanpa memakai
sarung kaki. Mohon penjelasan.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala
puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi
Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta
orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Permasalahan
mengenai sama ada kaki wanita itu aurat ataupun tidak adalah perkara
khilaf yang berlaku dikalangan para ulama. Secara umumnya terdapat dua
pendapat di dalam permasalahan ini, iaitu:
Pertama: Kaki wanita itu adalah aurat.
Ini adalah pendapat jumhur para ulama dari mazhab Maliki, Syafi’e dan ianya juga adalah pendapat mazhab Hanbali.
Kedua: Kaki wanita itu bukanlah aurat.
Ini
adalah pendapat muktamad dari kalangan mazhab Hanafi dan ianya juga
adalah pendapat al-Imam al-Muzani dari mazhab Syafi’e dan Syeikh
al-Islam Ibn Taimiyyah.
Perbincangan Pendapat
Pandangan jumhur
yang mengatakan bahawa kaki wanita itu adalah aurat berdasarkan sebuah
hadith riwayat Umm Salamah R.Anha yang mana pernah bertanyakan kepada
Rasulullah SAW:
أَتُصَلِّي الْمَرْأَةُ فِي دِرْعٍ وَخِمَارٍ لَيْسَ
عَلَيْهَا إِزَارٌ قَالَ إِذَا كَانَ الدِّرْعُ سَابِغًا يُغَطِّي
ظُهُورَ قَدَمَيْهَا
Maksudnya: Adakah boleh seorang perempuan itu
solat dengan memakai baju dan tutup kepala tanpa memakai izar (kain yang
dipakai di bahagian bawah badan). Jawab Nabi SAW: “Boleh, sekiranya
baju itu labuh menutupi zahir kedua kaki”.
Riwayat Abu Daud (640)
Al-Imam al-Khattabi Rahimahullah, mengenai hadith di atas menyebutkan:
“Khabar
ini menjadi dalil ke atas sahihnya pendapat yang mengatakan tidak sah
solat sekiranya terdedah bahagian badan melainkan sekiranya pakaian itu
labuh, besar sehingga menutupi bahagian zahir kedua kaki. Ini menjadikan
syarat sah solat itu adalah dengan tidak mendedahkan sesuatupun dari
tubuh badannya”.
[Lihat Ma’alim al-Sunan. Al-Matba’ah al-‘Ilmiyyah, 1/180]
Seterusnya, al-Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi menyebutkan di dalam kitabnya al-Mughni:
“dan
telah berkata Malik, al-Auza’ie dan al-Syafi’e bahawa keseluruhan
wanita itu adalah aurat kecuali muka dan kedua tapak tangan, dan apa
selainnya wajib ditutup di dalam solat”
[Lihat al-Mughni, 1/431]
Adapun
pendapat kedua yang mengatakan bahawa kaki wanita itu bukan aurat
kerana kedua kaki secara kebiasaannya akan terdedah dalam melakukan
sesuatu tugasan dan sebagainya.
Hadith Umm Salamah R.Anha yang
menjadi dalil mengatakan bahawa kaki wanita itu aurat dijawab dengan
mengatakan bahawa hadith tersebut adalah mauquf semata-mata. Ini dapat
difahami melalui komentar al-Imam Abu Daud Rahimahullah sendiri di akhir
hadith tersebut yang mengatakan bahawa ramai yang meriwayatkannya tidak
menyebut nama Nabi SAW sebaliknya meriwayatkan terus dari Umm Salamah
R.Anha. Disebabkan oleh itu, Syeikh Nasiruddin Al-Albaani menghukum
hadith tersebut sebagai dhoif (lemah) kerana ianya adalah riwayat yang
mauquf (terhenti pada Sahabat).
Pendapat kedua ini juga adalah
pendapat muktamad di dalam mazhab Hanafi. Ianya juga adalah pendapat
al-Imam al-Muzani dari kalangan Syafi’eyyah dan juga Syeikh al-Islam Ibn
Taimiyyah dari kalangan Hanabilah.
Ini seperti mana yang dinukilkan oleh al-Imam Ibn ‘Abidin yang mana menyebutkan:
“Sesungguhnya kedua kaki itu bukanlah aurat pada pendapat yang muktamad.”
[Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/369]
Al-Imam al-Nawawi juga turut menyebutkan juga di dalam kitabnya, al-Majmu’:
“Telah berkata Abu Hanifah, al-Thauri dan al-Muzani bahawa kaki wanita itu juga bukanlah aurat…”
[Lihat al-Majmu’, 3/169]
Begitu juga al-Imam Ibn Qudamah di dalam kitabnya al-Mughni ada menyebutkan:
“dan
telah berkata Abu Hanifah, kedua kaki bukanlah aurat kerana keduanya
adalah sesuatu yang pada kebiasaannya terzahir (terlihat) seperti muka…”
[Lihat al-Mughni (1/430-431]
Kesimpulan
Mengetahui
bahawa permasalahan ini adalah khilaf, kami berpendapat bahawa pendapat
yang mengatakan bahawa kaki wanita itu adalah aurat lebih selamat,
berhati-hati dan keluar dari khilaf
Oleh itu, tidak sah sekiranya
seorang wanita itu solat jika terdedah bahagian kakinya melainkan
ditutup dengan kain yang labuh ataupun dengan memakai sarung kaki.
Namun,
sekiranya kita ada terlihat wanita yang solat tanpa memakai sarung kaki
dan terdedah bahagian kakinya, boleh jadi mereka itu jahil ataupun
berpegang dengan pendapat yang mengatakan bahawa kaki wanita itu
bukanlah aurat. Tegur dan tanyalah dengan cara yang berhemah agar tidak
meninggalkan persepsi yang negatif kepada saudara seislam kita.
Wallahu a’lam.
Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
11 Oktober 2016 bersamaan 10 Muharram 1438 H.
[1]
Bahagian kaki yang menjadi perbincangan di dalam isu ini bukanlah kaki
secara keseluruhannya yang melibatkan bahagian peha dan betis. Adapun
yang dibincangkan di sini adalah bahagian zahir kaki yang nampak setelah
menutup aurat seperti bahagian di bawah buku lali dan juga tapak kaki.
