Sudah
tentu tertanya di hati - apakah dia batas minima bagi seseorang yang
pakaiannya tidak menepati syarat-syarat solat ? Maka jawapannya ialah
walau apapun kekurangan pakaian yang dihadapi, solat tersebut tetap
wajib dilaksanakan dan tetap sah sekalipun jikalau terperangkap dalam
suasana tidak berpakaian langsung. Prof. Dr. Wahbah Zuhaili, ahli fiqh
mutakhir dan juga Ketua Fakulti Fiqh dan Usul Fiqh di Universiti Islam
Damaskus, Syria menerangkan rincian pendapat setiap mazhab ahli sunnah
yang empat mengenai batas minima pakaian solat seseorang iaitu -
Menurut
pendapat ulama'-ulama' Mazhab Maliki, seseorang yang tidak mempunyai
pakaian penutup aurat hendaklah dia tetap bersolat sekalipun
bertelanjang kerana menutup aurat adalah dituntut ketika terdaya maka
gugurlah tuntutan jika tidak terdaya.
Menurut pendapat Mazhab
Hanbali, dalam keadaan tidak ada penutup aurat hendaklah dilakukan solat
secara duduk dan melakukannya secara isyarat.
Menurut pendapat
ulama'-ulama' Mazhab Shafie dan Hanafi, wajib dilakukan solat sekalipun
dengan melumuri tanah pada tubuh badan sebagai penutup aurat dan
berkekalan dalam keadaan sedemikian sehingga selepas solat, atau dengan
melumuri air yang keruh pada tubuh badan sebagai penutup aurat.
Menurut
pendapat ulama'-ulama' Mazhab Hanafi dan Maliki memadai dengan
kegelapan sebagai penutup aurat kerana darurat, sementara menurut
pendapat yang asah di kalangan ulama'-ulama' Mazhab Shafie, hendaklah
menutup kemaluan dengan tangan, begitu juga menurut pendapat
ulama'-ulama' Mazhab Hanbali kerana dengan itu tercapai tujuan menutup
aurat sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.
Dalam
keadaan tersebut menurut pendapat ulama'ulama' Mazhab Shafie, hendaklah
dilakukan solat secara berdiri bagi menyempurnakan rukun solat dan
menurut pendapat yang madhab di kalangan mereka, solat tersebut tidak
wajib diulangi selagi sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.
Sementara itu menurut pendapat ulama'-ulama' Mazhab Hanafi, hendaklah
dilakukan solat secara duduk dan membuat isyarat ketika rukuk dan sujud
sebagaimana juga pendapat ulama'-ulama' Mazhab Hanbali. Itulah yang
lebih utama daripada solat secara berdiri dan membuat isyarat ketika
rukuk dan sujud kerana menutup aurat adalah lebih penting daripada
menunaikan rukun.
Demikian salinan penerangan Prof. Dr. Wahbah
Zuhaili. Penerangan di atas insya-Allah tidak mungkin akan temui
suasananya dalam sepanjang hidup kita. Namun ia dikemukakan bagi
menunjukkan bahawa para ulama' fiqh dari semua 4 Mazhab yang sedia ada
tetap mewajibkan solat dilaksanakan dalam waktunya sekalipun berhadapan
suasana dan keadaan yang amat mengharukan. Faktor ketiadaan pakaian yang
secukupnya tidak diterima sebagai alasan atau dalih untuk menundakan
solat atau meninggalkannya terus.
Kesimpulan.
1. Syarat
pakaian solat yang diwajibkan bagi seorang wanita ialah kain tudung yang
menutupi dari kepala sehingga ke bawah kawasan dada dan pakaian yang
dapat menutupi sehingga ke kedua tapak kakinya. Selain itu pakaiannya
hendaklah longgar dan tidak menampakkan bentuk badan atau bayangannya
dan tidak nipis sehingga melihatkan warna kulit di sebaliknya.
2.
Apabila gagal menepati syarat pakaian solat yang diwajibkan dan dia
telah berusaha sedaya mampu, hendaklah tetap mendirikan solat tersebut
dengan sekadar apa yang ada. Solat sebegini adalah sah dan tidak perlu
diulangi.
