(Dengan
nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para
pengikut Baginda)
Bukanlah suatu perkara yang dirisaukan dan
diragukan seseorang jika tersentuh dengan mahram di dalam keadaan
berwudhu. Ini kerana ramai yang tahu bahawa wudhu tidak akan batal jika
persentuhan berlaku antara sesama mahram. Hukum syara‘ telah menetapkan
wudhu seseorang tidak batal jika bersentuhan dengan mahram mu’abbad
(yang diharamkan nikah dengannya untuk selamanya), sama ada disebabkan
keturunan, penyusuan mahupun perkahwinan seperti menantu dengan mertua.
Status
mahram ternyata membuatkan seseorang merasa yakin, sekaligus menolak
keraguan adakah wudhu masih sah atau batal apabila bersentuhan kulit
dengan yang berlawan jantina.
Umpamanya wudhu seorang ibu tidak
batal jika menyentuh anak kandung lelaki yang masih kecil ataupun yang
sudah dewasa. Sebaliknya kerisauan, keraguan dan kekeliruan itu
adakalanya berlaku pada segelintir orang Islam terutama mereka yang
sering berhadapan dengan kanak-kanak seperti guru tadika, jururawat
atau pengasuh anak.
Mereka
tidak tahu atau tidak pasti sama ada wudhu menjadi batal disebabkan
berlakunya persentuhan antara kanak-kanak yang berlawanan jantina yang
bukan dari kalangan mahram mereka ataupun tidak? Adakah wudhu batal jika
menyentuh, disentuh atau tersentuh kanak-kanak tersebut?
Bersentuhan Kulit Antara Lelaki Dan Perempuan Membatalkan Wudhu
Pada
dasarnya, menurut mazhab Syafi‘e, bersentuhan kulit antara lelaki dan
perempuan adalah antara perkara yang membatalkan wudhu. Ketetapan ini
bersandarkan kepada firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya:
“…Atau kamu bersentuh dengan perempuan (yang bukan mahram) lalu kamu
tidak memperolehi air (untuk berwudhu atau mandi), maka bertayamumlah
dengan tanah (debu) yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua
tangan kamu (hingga ke siku) dengannya...” (Surah al-Ma’idah: 6)
Ayat
di atas memerintahkan agar berwudhu atau bertayammum - jika dalam
keadaan ketiadaan air - untuk menghilangkan hadats akibat berlakunya
persentuhan antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram.
Secara ringkasnya, yang dimaksudkan dengan bersentuh itu ialah:
1)
Bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan, hendaklah terdiri dari
orang dewasa atau orang yang sudah mencapai tahap memiliki syahwat.
2)
Bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan yang tidak mempunyai
hubungan mahram.3) Bersentuhan selain dari rambut, gigi dan kuku kerana
anggotaanggota tersebut tidak mendatangkan syahwat dengan
menyentuhnya sebagaimana pendapat ashah.
4) Bersentuhan langsung antara kulit iaitu tidak diselangi atau dialas oleh sesuatu seperti lapik atau baju sekalipun nipis.
5)
Berlaku persentuhan sama ada dengan menyentuh, disentuh mahupun
tersentuh. Manakala yang dimaksudkan dengan lelaki dan perempuan itu
ialah lelaki dan perempuan yang jelas mencapai tahap memiliki syahwat
sebagaimana pada kebiasaan naluri semulajadi setiap manusia normal.
Oleh
yang demikian, jika persentuhan kulit berlaku sebagaimana yang
dimaksudkan di atas, maka wudhu menjadi batal dan tetap batal sekalipun
persentuhan itu tidak disertai dengan rasa syahwat, tidak sengaja, lupa
atau dalam keadaan terpaksa.
Wudhu juga batal meskipun
bersentuhan dengan lelaki yang tidak cenderung terhadap perempuan,
lelaki yang tidak lagi bersyahwat, perempuan tua yang tidak lagi
bersyahwat atau tidak membangkitkan rasa syahwat apabila menyentuhnya.
Selain
itu, wudhu juga batal dengan menyentuh atau tersentuh anggota badan
yang lumpuh, anggota tambahan, ataupun orang mati. Akan tetapi wudhu
orang mati adalah tidak batal.
Dalam perkara bersentuhan ini,
kedudukan wudhu orang yang menyentuh sama juga dengan orang yang
disentuh iaitu batal ke atas kedua-duanya jika berlaku persentuhan
antara mereka kerana kedua-duanya mengalami perkongsian rasa bersentuhan
itu.
Bersentuhan Kulit Dengan Kanak-Kanak Dalam Keadaan Berwudhu
Sebagaimana
yang dijelaskan oleh para ulama, wudhu menjadi batal jika persentuhan
kulit berlaku antara lelaki dewasa dan perempuan dewasa yang dikatakan
mencapai tahap memiliki syahwat mengikut ‘uruf (kebiasaan).
Ini
bererti, wudhu tidak batal jika berlaku persentuhan kulit antara dua
orang kanak-kanak kerana tidak ada kemungkinan syahwat. Berbeza halnya
jika bersentuhan dengan lelaki atau perempuan yang cukup tua, wudhu
tetap batal walaupun tidak ada kemungkinan syahwat kerana mereka adalah
antara orang sudah
mencapai tahap memiliki syahwat.
Jika persentuhan kulit itu berlaku di antara orang dewasa dan kanak-kanak, perlulah diperhatikan keadaan seperti contoh berikut:
Contoh:
Persentuhan kulit di antara A (lelaki dewasa) dan B (kanak-kanak perempuan);
1) Jika persentuhan kulit berlaku antara A dan B,
maka wudhu kedua-duanya tidak batal kerana wudhu tidak batal jika
persentuhan kulit berlaku dengan salah seorang darinya adalah
kanak-kanak yang belum lagi mencapai had memiliki syahwat.
2)
Jika persentuhan kulit berlaku dan secara jelas B sudah mencapai had
memiliki syahwat walaupun B masih di peringkat umur kanak-kanak pada
kebiasaannya, maka wudhu kedua-duanya (A dan B) batal dan tetap batal
sekalipun tidak bersyahwat semasa persentuhan berlaku.
3) Jika
persentuhan kulit berlaku dan tidak jelas ( di luar pengetahuan) adakah B
sudah mencapai had memiliki syahwat, maka wudhu kedua-duanya (A dan B)
tidak batal kerana wudhu tidak batal jika merasa syak atau ragu sama ada
perempuan atau lelaki berkenaan masih dikira kanak-kanak yang belum
bersyahwat atau sebaliknya.
Perkara ini tertakluk kepada
keyakinan seseorang. Keyakinan adalah disyaratkan dalam perkara ini.
Dalam erti kata lain, wudhu tidak batal jika dihadiri rasa syak atau
ragu adakah seseorang yang dengan kita bersentuhan itu adalah dikira
kanak-kanak ataupun sebaliknya.
Untuk memudahkan, berikut adalah
perkara yang perlu diambil perhatian sebagai sukat-sukat dalam menilai
seorang kanak-kanak itu menurut pandangan syara‘.
Siapakah Yang Dimaksudkan Dengan Kanak-Kanak?
Secara
amnya, menurut istilah para fuqaha, kanak-kanak itu ialah seseorang
yang belum baligh. Baligh bermaksud kanak-kanak yang sudah cukup umur,
iaitu apabila umurnya sudah mencapai 15 tahun ataupun kanak-kanak lelaki
bermimpi sehingga keluar air mani, manakala kanak-kanak perempuan telah
keluar haid dalam jangka umur antara 9 hingga 15 tahun.
Dari keterangan di atas, peringkat kanak-kanak itu ialah dari semenjak lahir sehingga mencapai peringkat baligh.
Terdapat dua peringkat akan dialami oleh setiap kanak-kanak normal iaitu:
1)
Peringkat Belum Mumaiyiz: Bermula dari sejak kelahiran sehinggalah
kanak-kanak itu mencapai umur mumaiyiz. Secara kebiasaannya kanak-kanak
yang belum mumaiyiz ini berusia tidak lebih dari 7 tahun.
2)
Peringkat Mumaiyiz: Bermula dari sejak kanak-kanak itu berkemampuan
untuk membezakan di antara sesuatu dengan sesuatu yang lain, dapat
membezakan antara sesuatu yang bermanfaat dan yang memudaratkan.
Peringkat
kanak-kanak yang mencapai tahap mumaiyiz tiada had umur yang tertentu
tetapi berpandukan pada kebolehannya dalam menentukan setiap perbuatan
yang hendak dilakukannya. Berakhir peringkat ini apabila mencapai tahap
baligh.
Dari satu sudut lagi, kanak-kanak itu ialah yang menurut
kebiasaan umum tidak ada kemungkinan syahwat, lawan kepada dewasa iaitu
orang yang telah mencapai had memiliki syahwat.
Apa Yang Dimaksudkan Dengan Syahwat?
Syahwat
ialah perasaan atau naluri semulajadi yang ingin atau cenderung
terhadap sesuatu dan sebahagian besarnya adalah perasaan atau naluri
yang ingin atau cenderung kepada kelazatan.
Adapun syahwat yang
dimaksudkan dalam konteks membatalkan wudhu ini adalah yang dinamakan
syahwat jinsiyyah iaitu gelora hati dan perasaan yang suka atau ingin
terhadap kaum lawan jenis yang juga kadang-kadang bercampur baur dengan
rasa keinginan sehingga boleh membangkitkan rangsangan fizikal apabila
memandang atau memegang sesuatu.
Di
dalam kitab I‘anah ath-Thalibin disebutkan bahawa sukat-sukatsyahwat
bagi seorang lelaki adalah dengan adanya rangsanganfizikal pada anggota
tertentu manakala bagi seorang perempuan adalah dengan kecenderungan
hati atau berkeinginan terhadap lelaki.
Batalkah Wudhu Jika Bersentuhan Dengan Kanak-Kanak Bukan Islam?
Salah
satu perkara membatalkan wudhu ialah bersentuhan kulit antara lelaki
dan perempuan yang bukan mahram dengan tidak berlapik. Sebaliknya wudhu
tidak batal jika persentuhan kulit berlaku antara sesama jenis, sesama
khuntsa, khuntsa dengan lelaki atau khuntsa dengan perempuan sama ada
mereka Islam atau
bukan Islam.
Demikian juga halnya dengan
yang melibatkan kanak-kanak bukan Islam. Hukum lelaki dewasa dan
perempuan dewasa bersentuhandengan kanak-kanak bukan Islam adalah sama
juga dengan kanak-kanak Islam dalam perkara wudhu ini sebagaimana
menurut pendapat para ulama fiqh.
Berdasarkan keterangan di atas,
apa yang dapat difahami, tiada had umur tertentu bagi menentukan
kanak-kanak yang batal dan yang tidak batal wudhu apabila bersentuhan
dengannya. Tetapi memadai dengan berpandukan pada keyakinan dan
pengetahuan seseorang dalam menilainya serta dengan berpandukan kepada
‘uruf atau kebiasaan sesuatu tempat dan masyarakat.
Wudhu tidak
batal jika menyentuh atau tersentuh kulit bayi atau kanak-kanak yang
pada zahirnya tidak ada kemungkinan syahwat dan tidak menimbulkan
syahwat.
Namun perlu diingat, wudhu akan tetap batal jika
menyentuh atau tersentuh kemaluan walaupun kemaluan bayi atau
kanak-kanak kerana menyentuh atau tersentuh kemaluan dengan jari atau
bahagian dalam tangan (tapak tangan) yang tidak berlapik sama ada
sengaja atau tidak sengaja juga merupakan antara perkara yang
membatalkan wudhu.
Selain
itu, wudhu ahli keluarga angkat juga akan batal jika bersentuhan dengan
anak angkat bukan susuan kepada ibu angkat apabila anak tersebut sudah
mencapai tahap memiliki syahwat kerana kedudukan hubungan anak angkat
dengan keluarga angkat tetap tidak berubah seperti asalnya. Dia tetap
dianggap orang asing dalam lingkungan keluarga angkatnya kecuali jika
ada pertalian mahram atau setelah disusukan oleh ibu angkatnya dengan
mengikut dan memenuhi syarat penyusuan yang ditetapkan syara‘.
