Al-Hakim mengeluarkan dalam al
Mustadraknya pada hadith no 1937 dan mensahihkannya begitu juga Ibnu
Hibban dalam sahihnya pada hadith no 225 dari AbduLlah bin 'Amar bin al
'Ash, dia berkata : RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda :
يصاح
برجل من أمتي على رؤوس الخلائق يوم القيامة فينشر له تسع و تسعون سجلا كل
سجل مد البصر ثم يقال له أتنكر من هذا شيئا ؟ فيقول ألك عذر أو حسنة ؟
فيهاب الرجل فيقول لا يا رب فيقول بلى إن لك عندنا حسنات و إنه لا ظلم عليك
فيخرج له بطاقة فيها: أشهد أن لاإله إلا الله وأشهد أن محمدا عبده و رسوله
فيقول يا رب ما هذه البطاقة مع هذه السجلات ؟ فيقول إنك لا تظلم قال فتوضع
السجلات في كفة فطاشت السجلات وثقلت البطاقة
Ertinya : "Seorang
lelaki dari ummatku akan dipanggil pada hari kiamat nanti di hadapan
sekalian makhluk lalu dibentangkan kepadanya 99 buku catatan amal.
Panjang tiap-tiap buku catatan amalnya sejauh mata memandang. Kemudian
dikatakan kepadanya : "Apakah ada diantaranya yang tidak engkau setujui ?
Lelaki itu berkata : "Tidak wahai Tuhanku". ALlah berfirman : "Apakah
engkau memiliki keuzuran atau kebaikan?". "Tidak wahai Tuhanku". Jawab
lelaki itu. ALlah berfirman: "Bahkan sebaliknya, menurut Kami engkau
memiliki beberapa kebaikan dan engkau tidak akan dizalimi.
Lalu Allah subahanahu wa ta'ala mengeluarkan bitoqoh yang di dalamnya tertulis lafaz:
أشهد أن لا إله إلا الله و أشهد أن محمدا عبده ورسوله
Lelaki
itu berkata : "Wahai Tuhanku apakah erti bitoqoh berserta lembaran buku
catatan amal ini ?" ALlah berfirman : "Engkau tidak akan dizalimi".
Lalu beberapa buku catatan amal itu diletakkan di dalam satu piring
timbangan dan bitoqoh itu pada piring timbangan yang lain. (Ternyata)
beberapa buku catatan amal itu menjadi ringan dan bitoqoh itulah yang
berat.
Hadith ini juga dikeluarkan oleh at Turmudzi dalam
sunannya pada hadith no 2639 dan dia menganggapnya hasan. Juga
dikeluarkan oleh Ibnu Majah dalam sunannya pada hadith no 4300 dan Imam
Ahmad dalam musnadnya pada hadith no 6994.
Lalu bagaimana boleh
sesudah hadith yang agung ini membuka pintu harapan bagi mereka yang
lalai dan berdosa. Kita menghukumkan kepada mereka yang bersalah bahawa
mereka adalah penghuni neraka tanpa ada pemberitahuan dari ALlah kepada
kita ?
Padahal ALlah subahanahu wa ta'ala menjadikan manusia di
hari kiamat nanti terdiri dari dua golongan. Satu golongan di dalam
syurga dan satu golongan lagi di dalam neraka. Adapun penghuni syurga ,
maka mereka adalah kaum Muslimin dan mereka terdiri dari tiga jenis.
ALlah subahanahu wa ta'ala telah berfirman :
ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا
ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٌ۬
لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡہُم مُّقۡتَصِدٌ۬ وَمِنۡہُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٲتِ
بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡڪَبِيرُ (٣٢) جَنَّـٰتُ
عَدۡنٍ۬ يَدۡخُلُونَہَا يُحَلَّوۡنَ فِيہَا مِنۡ أَسَاوِرَ مِن ذَهَبٍ۬
وَلُؤۡلُؤً۬اۖ وَلِبَاسُہُمۡ فِيہَا حَرِيرٌ۬ (٣٣)
Kemudian Kami
jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari
kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim
kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran) dan
di antaranya ada yang bersikap sederhana dan di antaranya pula ada yang
mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang
demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).
(32) (Balasan mereka ialah) Syurga-syurga "Adn", yang mereka akan
masukinya; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan dari
emas dan mutiara; dan pakaian mereka di situ adalah dari sutera. (33)
Surah al Fathir ayat 32-33)
Kemudian ALlah subahanahu wa ta'ala menjelaskan tentang keadaan orang-orang bukan Islam melalui firmanNya :
وَٱلَّذِينَ
كَفَرُواْ لَهُمۡ نَارُ جَهَنَّمَ لَا يُقۡضَىٰ عَلَيۡهِمۡ فَيَمُوتُواْ
وَلَا يُخَفَّفُ عَنۡهُم مِّنۡ عَذَابِهَاۚ كَذَٲلِكَ نَجۡزِى كُلَّ
ڪَفُورٍ۬ (٣٦)
Dan orang-orang yang kafir, bagi mereka Neraka
Jahanam; mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh supaya mereka mati (dan
terlepas dari seksa) dan tidak pula diringankan azab Neraka itu dari
mereka dan demikianlah Kami membalas tiap-tiap orang yang melampau
kufurnya.
(Surah al Fathir : 36)
Dengan demikian maka tidak
ada pada Hari Kiamat nanti kecuali Muslim yang masuk syurga dan kafir
yang masuk neraka. Berkata Ibnu Kathir :
"Ketika menjelaskan keadaan
kaum Muslimin di Hari Kiamat nanti berdasarkan ayat ini, Ibnu Abbas
radiyaLlahu 'anhu berkata : "Orang yang lebih dahulu berbuat kebaikan
akan masuk syurga dengan tanpa hisab dan orang yang muqtasid (sama dosa
dan kebaikannya) akan masuk ke syurga dengan rahmat ALlah, sedangkan
orang yang menzalimi dirinya sendiri dan ashabul a'raf akan masuk syurga
dengan syafaat Nabi Muhammad sallaLlahu 'alaihi wasallam"
(lihat tafsir Ibnu Kathir III/556).
Oleh
kerana itu, Imam al Qurtubi menyebutkan bahawa Nabi sallaLlahu 'alaihi
wasallam ketika membaca ayat : ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ Beliau
berkata :
"Semua mereka akan masuk syurga", Umar pernah membaca ayat
ini lalu berkata : "RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda :
Orang yang lebih dahulu berbuat kebaikan di antara kami akan lebih
dahulu masuk syurga, orang yang pertengahan di antara kami akan beroleh
keselamatan dan orang yang menzalimi diri sendiri akan diampunkan oleh
ALlah".
(Lihat tafsir al Qurtubi 14/346)
Disebutkan pula dalam tafsir tersebut :
"Menurut
satu pendapat, orang yang menzalimi diri sendiri itu sengaja
didahulukan agar dia tidak berputus asa dari rahmat ALlah dan diakhirkan
orang yang lebih dahulu berbuat kebaikan itu agar dia tidak 'ujub
(bangga) dengan amalnya. Berkata Ja'far as Shadiq bin Muhammad bin Ali
radiyaLLahu 'anhu : "ALlah mendahulukan orang yang menzalimi diri
sendiri adalah untuk memberitahu bahawa dia tidak boleh mendekati ALlah
kecuali dengan semata-mata rahmat dan kemuliaanNya dan bahawa kezaliman
terhadap diri sendiri itu tidak membawa pengaruh dal hal isthofa'iyyah
(keterpilihan) jika di sana sudah ada bantuan dari ALlah.
Kemudian
Allah menyebutkan muqtashid itu di urutan kedua kerana mereka berada di
antara harap dan cemas lalu ALlah mengakhiri dengan sabiq bil khairat
agar dia tidak merasa aman dari murka ALlah dan semua mereka akan masuk
syurga lantaran kemuliaan dari kalimaul ikhlas La ilaha illaLLah
Muhammad RasuluLLah"
(Lihat tafsir al Qurtubi 14/349)/
Imam ats Tsa'libi meriwayatkan dari Ibnu Mas'ud radiyaLlahu anhu bahawa beliau berkata :
"Pada
hari kiamat nanti ummat ini akan terbahagi tiga : sepertiga akan masuk
syurga dengan tanpa hisab, sepertiga akan dihisab dengan hisab yang
ringan dan sepertiga lagi akan datang membawa dosa yang banyak maka
ALlah 'azza wa jalla berfirman : "Siapakah mereka ini ? - padahal Dialah
yang paling mengetahui tentang mereka - Malaikat menjawab : "Mereka
adalah orang-orang yang berdosa akan tetapi mereka tidak berbuat
syirik". Maka berfirmanlah ALlah azza wa jalla: "Masukkan mereka ke
dalam rahmatKu yang luas! "
Imam ats Tsa'libi juga meriwayatkan dari Abi Hasan as Syazili radiyaLlahu 'anhu, beliau berkata :
"Muliakanlah
orang-orang yang beriman walaupun mereka berbuat maksiat lagi fasiq dan
suruh mereka melakukan yang ma'ruf serta cegah mereka dari berbuat
kemungkaran. Boikot mereka kerana kasih sayang kepada mereka, bukan
kerana menghindari mereka. Andai disingkapkan nur orang Mukmin yang
berbuat maksiat nescaya nur itu akan menutupi langit dan bumi, lalu
bagaimanakah menurutmu nur orang Mukmin yang taat ? Cukuplah bagimu
firman ALlah : ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا
sebagai pengagungan ALlah terhadap orang-orang Mukmin walaupun mereka
terkadang lalai terhadap ALlah.
Perhatikanlah bagaimana ALlah
menetapkan mereka sebagai bahagian orang-orang yang terpilih walaupun
mereka berbuat zalim terhadap diri sendiri.
(Lihat tafsir ats Tsa'libi III/259)
Lalu
bagaimana mungkin, sesudah dikemukakan sekian banyak athar dan hadith
yang menjelaskan tentang luasnya rahmat ALlah - seorang Mukmin
disempitkan sedemikian rupa dan seorang Muslim berani dihukum masuk
neraka hanya lantaran dosa yang dia lakukan tanpa menyerahkan
pengetahuan yang demikian itu kepada ALlah subahanahu wa ta'ala ?
Sesungguhnya
pandangan para pengaku Firqoh Najiah itu benar-benar telah mencapai
titik melampau hingga mereka berani berkeyakinan bahawa hanya mereka
yang termasuk Firqoh Najiah, bukan seluruh kaum Muslimin. Berbagai
aliran pemikiran dan mazhab menurut mereka tidaklah termasuk Firqoh
Najiah, semua itu secara pasti akan masuk neraka. Tidak ada yang selamat
dan masuk syurga selain mereka walaupun sehebat apapun dia dalam hal
taqwa, ibadah, ilmu mahupun amal.
