Ramadan Terakhir Bersama Dia..Allahuu.. :'(






1 Ramadan


Ramadan pertama “kami” bersama.
Namun apakan daya, “si dia” telah hampir sebulan menjalani rawatan
radioterapi di Hospital Kuala Lumpur. Memandangkan ini adalah kitaran
cuti kerja suamiku, kami berdua menghabiskan masa bersamanya di
hospital. Tiada selera makan. Tiada juga sisa kudrat untuk berbual
sakan. Hanya senyum tawar dan kata-kata sebutir dua yang kadangkala
diucapkannya.





2 Ramadan


Di penghujung waktu lawatan, si dia
menyebut teringin untuk menjamah tomyam. Tanpa bertangguh lagi, tomyam
yang diidam segera ditunaikan. Enggan untuk membelinya di kedai. Gigih
kami berdua mencari bahan, menumpang dapur rumah ibu saudara di Kuala
Lumpur demi menyiapkan semangkuk tomyam air tangan seorang menantu yang
tanpa kami tahu, rupanya itulah terakhir kalinya dia menjamah masakanku.





3 Ramadan


Tomyam
dijamah begitu bernafsu. Hati siapa yang tidak ceria, melihat sosok
tubuh yang tiada selera makan berhari-hari mula berselera semula. Walau
perlahan, suapan demi suapan dihulur ke mulutnya. Harapan kami semua
berbunga, untuk melihat si dia kembali sihat bertenaga.





Petangnya,
kami berdua meminta izin pulang ke Melaka. Dengan hasrat juga untuk
singgah berbuka buat pertama kali bersama suami di rumah ibu ayahku
sendiri di Seremban. Lagi pula kitaran bercuti suami sudah tiba pada
hari terakhir, bermakna esoknya sudah perlu semula bekerja.





Tatkala
bersalaman dan berpelukan sebelum pulang, ayat ini kedengaran di
telinga kami, “jangan lama-lama ye..” Hairan. Namun seakan-akan tidak
memahami apa yang dimaksudkan olehnya, kami mengatur langkah pulang.
Meninggalkan si dia dalam jagaan iparku yang sedang bercuti dari kuliah.





4 Ramadan


Aku
bangun bersahur dengan perut yang memulas. Entah kenapa tidak
diketahui. Cuma menyangka ia adalah sakit biasa untuk seorang wanita
yang baru hamil 8 minggu. Selepas subuh, perasaanku bercampur baur,
antara suami yang hatinya tidak tenteram teringatkan “si dia” di Kuala
Lumpur dan diri sendiri yang sedang menanggung kesakitan teramat, suami
memutuskan untuk bertolak ke Kuala Lumpur semula.





Suamiku
memutuskan untuk terlebih dahulu menghantar aku ke rumah ibu ayahku di
Seremban memandangkan keadaan kesihatanku ketika itu.





Tiba di
depan pagar rumah ibu ayah di Seremban, panggilan telefon mencemaskan
dari iparku yang menjaga “si dia” diterima. “Si dia” baru sahaja pergi
meninggalkan kami semua! Aku masih teringat jeritan suamiku ketika
menerima berita sedih itu. Aku juga masih teringat bagaimana
pandangannya menjadi kosong dan tubuhnya menjadi longlai di pintu kereta
itu.





4 Ramadan, 17 tahun yang lalu masih segar dalam ingatan.





Walau
tidak berkesempatan mengenali lama sosok tubuh “si dia”, ibu mertuaku
yang tercinta, tetapi Allah memberi peluang untuk aku mengenalinya
melalui zuriat-zuriatnya yang ditinggalkan.





Semangat kental arwah
mak diwarisi ketiga-tiga anaknya. Bacaan Al Quran yang sangat baik
bersama hafalan yang sering dilazimi, kulihat jelas tersemat kukuh dalam
diri mereka. Aku berdoa agar peribadi hebat arwah mak ini mengalir ke
dalam diri anak-anakku, cucu-cucunya! Amin.





Walau arwah mak tidak
kaya harta, namun sedikit yang ditinggalkannya berkat hingga ke hari
ini. Semoga arwah mak tenang di sana, bertemankan ilmu-ilmu Al Quran
yang telah diajari kepada orang lain beserta doa dari anak-anaknya (dan
zuriat keturunannya) yang soleh solehah.





Alm- Fatihah.









Ummu Mus’ab


Seremban


3.00am, 4 Ramadan 1438H





Sumber : Indahnyaislam

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post