KUALA LUMPUR – Kira-kira 3,500 warga kota termasuk
pelancong luar negara merasai pengalaman berbuka puasa beramai-ramai di
Dataran Merdeka di Jalan Raja sempena program Iftar@KL 2017 yang bermula
semalam.
Walaupun juadah berbuka yang disediakan penganjur serba
ringkas iaitu nasi berlaukkan ayam goreng kunyit, kurma dan setin air
minuman, ianya sudah amat memadai buat mereka yang berpendapat
pengalaman berbuka dalam suasana terbuka adalah lebih berharga.
Bagi
jurujual, Shah Amin Abdullah, 23, yang pertama kali menyertai program
berbuka puasa itu melahirkan rasa teruja, tatkala melihat suasana di
hadapan bangunan Sultan Abdul Samad itu yang begitu meriah dengan
kehadiran orang ramai daripada pelbagai usia bersama-sama menanti waktu
berbuka.
“Acara sebegini sesuai dalam mengeratkan hubungan antara
sesama masyarakat dan kita juga dapat berkongsi budaya kita dengan
memperkenalkan kepada masyarakat bukan Islam yang lain selain dapat
menambah kenalan baharu sementara menunggu waktu berbuka,” katanya
kepada Bernama.
Program yang diadakan sejak tahun 2012 anjuran
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Jabatan Kebudayaan dan
Kesenian Negara (JKKN) itu bukan sahaja melibatkan acara berbuka, malah
turut diadakan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih selain aktiviti
penyediaan bubur lambuk.
Ketua Pengarah JKKN, Tan Sri Norliza
Rafli berkata sebanyak 16 aktiviti dilaksanakan dengan penyertaan
seramai 300 sukarelawan pada Iftar@KL 2017 kali ini antaranya Tadarus
al-Quran, Klinik Tahsin al-Quran, kaunter zakat, jualan melalui trak
makanan, Bicara Ramadan, Pameran Pelancongan Islam dan Konsert Ramadan.
Iftar@KL
2017 diadakan setiap hari Sabtu dan Ahad sepanjang bulan Ramadan
bermula hari ini dan 4 Jun, 10 dan 11 Jun serta 17 dan 18 Jun.
Sumber : Ismaweb
