SubhanAllah!!! Membaca Al-Quran Ditanah Perkuburan Sepanjang Ramadan.






BAGAN
DATUK – Kebiasaannya tadarus al-Quran dilakukan di masjid mahupun rumah
sepanjang Ramadan kerana ketika inilah pahala amalan digandakan.


Namun
pernahkah anda terbayang wujud tradisi membaca al-Quran dilakukan di
tanah perkuburan setiap hari sehingga khatam 30 juzuk sempena Ramadan.





Mungkin bagi segelintir masyarakat ia agak pelik, namun itu yang berlaku di Kampung Sungai Sumun Satu, Hutan Melintang, di sini.


Ketua
kampungnya, Abu Halim Zainuddin berkata, tradisi membaca al-Quran di
tanah perkuburan oleh penduduk kampung berkenaan telah wujud sejak 100
tahun lalu.





“Setiap kali Ramadan, penduduk di sini datang ke
tanah perkuburan ini membaca al-Quran buat orang tua serta saudara mara
mereka yang sudah menghadap Ilahi.


“Tradisi turun temurun ini dah
sebati dalam jiwa kami malah ia menjadikan Ramadan penuh bermakna dan
tanah perkuburan tak pernah sunyi dari alunan ayat-ayat suci al-Quran
sepanjang Ramadan,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam
Parit 5, Sungai Sumun, semalam.





Sedekah kepada ahli kubur


Abu Halim berkata, dahulunya kampung tersebut sering dikunjungi serta didiami kiai dan ustaz.


“Mereka
amat mementingkan ajaran agama dan ketika itu sebuah masjid dibina atas
tanah perkuburan sekarang untuk mudahkan orang kampung beramal dan
mempelajari agama.





“Memandangkan masjid berada di sebelah tanah
perkuburan, maka ketika Ramadan, mereka bersama penduduk mengadakan
tadarus di kubur untuk disedekahkan kepada ahli kubur di situ,” katanya.


Bagaimanapun,
kata beliau, masjid berkenaan kini dipindahkan ke lokasi lain
memandangkan tapak berkenaan digunakan untuk pengebumian yang kini
mempunyai hampir 2,000 kubur.





“Ketika saya kecil lagi dah ada
tradisi ini dan selalu ikut orang tua ke kubur arwah datuk dan nenek
untuk sedekahkan ayat suci al-Quran selain bersihkan kubur,” katanya.


Abu
Halim turut berkongsi perasaannya ketika membaca al-Quran di kubur
setiap kali Ramadan yang membawanya lebih dekat kepada ALLAH SWT dan
sentiasa mengingati kematian.





“Kita biasa bertadarus, mengaji
al-Quran di rumah dan masjid tapi bila membaca di kubur, kita akan rasa
sebak dan insaf bila mengingati ALLAH SWT.


“Kita juga dapat lepaskan
rasa rindu kepada arwah ahli keluarga yang tiada, terutamanya mak, ayah
dan ini saja yang kita dapat sedekahkan kepada mereka sebagai anak,”
katanya.





Bimbang tiada pelapis


Menurut Abu Halim, tradisi itu kini semakin suram terutamanya dalam kalangan anak-anak muda.


“Dulu
bila Ramadan jer, kita boleh lihat ramai penduduk mengalunkan ayat-ayat
suci al-Quran bermula selepas solat Subuh berjemaah.





“Ketika tu,
lebih 20 orang akanberada di kubur mengaji dan suara mereka
mengalunkan ayat suci al-Quran juga kedengaran di setiap pelosok.


“Tapi
kini jumlahnya semakin berkurangan dan boleh dikatakan tak sampai 10
orang sahaja penduduk yang masih amalkan tradisi ini, itu pun hanya
warga emas,” katanya.





Tambahnya, generasi muda kini seakan tidak berminat untuk meneruskan tradisi berkenaan.


“Ini
kerana ramai anak muda berhijrah keluar cari pekerjaan, selain ada juga
yang tak menunjukkan minat dan lebih gemar mengaji di masjid serta
rumah.


“Kadang-kadang saya dan rakan-rakan ada juga bersembang
bagaimana suasana Ramadan selepas ini bila kami dah tiada, adakah
tradisi ini akan diteruskan dan kalau boleh kami tak mahu ia hilang
ditelan zaman,” katanya.





Perlu ikhlas


Bagi pesara guru, Ahmad
Rusli Mohd Sedik, 59, yang menetap di kampung berkenaan ketika berumur
26 tahun berkata, pada mulanya dia terkejut melihat ramai orang kampung
mengaji di kubur pada bulan Ramadan.


“Bila diselidik dan bertanya kepada isteri serta mentua saya, mereka beritahu ia tradisi kampung ini setiap kali Ramadan.





“Setiap
pagi bila kita lalu sahaja depan tanah perkuburan ketika Ramadan, kita
akan lihat ada penduduk baca al-Quran di kubur keluarga mereka,”
katanya.


Dia juga turut melahirkan kebimbangan apabila tradisi itu semakin suram dan generasi muda juga tidak menunjukkan minat.


“Kebanyakan
generasi lama dah meninggal dunia jadi tinggallah kami yang masih
dipanjangkan umur dan meneruskan amalan membaca al-Quran ini.





“Memang
kita ada bermesyuarat antara jawatankuasa kampung dan masjid untuk
tarik minat penduduk tapi ia mestilah dilakukan dengan hati yang
ikhlas,” katanya.


Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Tanah
Perkuburan Islam Parit 5, Sungai Sumun, awal pagi semalam mendapati
terdapat beberapa penduduk sedang membaca al-Quran.


Bagi Faizul
Akhiar Ahmad Zuhdi, 36, dia dan adik-beradiknya berkunjung ke tanah
perkuburan untuk membaca ayat suci al-Quran buat Allahyarham abang serta
ayahnya.





“Setiap kali puasa kita akan lihat penduduk kampung ini
datang ke tanah perkuburan, bentang tikar dan bersila untuk mengaji di
hadapan kubur keluarga masing-masing.


“Sebagai anak kita tak mampu
balas jasa orang tua, jadi dengan sedekahkan ayat suci al-Quran buat
mereka, sedikit sebanyak ringankan seksaan mereka.






“Kalau boleh biarlah kiriman ayat al-Quran ini
berterusan selain doa kita sebagai anak buat arwah emak dan ayah kita di
sana,” katanya yang turut ke kubur pada hari biasa. 





Sumber : Sinar Harian

Post a Comment (0)
Previous Post Next Post